Kenyataan fitnah, GAMIS beri kata dua
isu semasa, terkini 12:30 PTG

“GAMIS menuntut Norhisyam menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan memohon maaf dalam masa tiga hari,” kata Ketua Penerangan GAMIS pusat Mohd Yusof Hadhari dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusof berkata sekiranya Norhisyam enggan menarik balik fitnah itu, GAMIS akan mengarahkan semua organisasi GAMIS negeri dan mahasiswa Islam untuk membuat laporan polis dan seterusnya akan mengemukakan saman kepada beliau.
Dalam kenyataannya di ruangan Varsiti, akhbar Berita Harian bertarikh 25 nov, Norhisyam menyatakan GAMIS menggunakan ‘Islam’ untuk mempengaruhi dan memperbodohkan segolongan mahasiswa memperjudikan masa depan mahasiswa hanya untuk menjayakan agenda politik sesat PAS.
Mohd Yusof menambah kenyataan Norhisyam itu adalah satu fitnah yang besar dan cuba memberikan gambaran buruk berkenaan GAMIS kepada mahasiswa dan rakyat keseluruhannya.
Tuduhan bahawa GAMIS ialah gerakan mahasiswa pendokong PAS nombor satu juga kata Mohd Yusof, sengaja direka bagi menunjukan bahawa GAMIS ini di pandang serong oleh beberapa pihak.
“Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik GAMIS sebagai sebuah peneraju gerakan mahasiswa Islam. Norhisyam juga menyatakan PAS membawa politik sesat, mungkin PAS juga perlu menjawabnya.” ujarnya.

