GAMIS mohon Ihsan
Kebajikan, terkini 10:11 PTG
Dalam suasana hiruk pikuk Bandar, suara menggamit kemajuan, disana masih ada yang hidup berpapankan kayu yang menunggu runtuh sahaja. Susah untuk digambarkan penderitaan yang dialami, namun pahit ubat tidak sekelumit dengan pahitnya liku kehidupan yang dihadapi keluarga ini. Keluarga yang dimaksudkan ialah, Allahyarhamah Siti Esah.
Siti Esah binti Mohamed(gambar), mahasiswi Tahun 3, Jabatan Syariah daripada Fakulti Pengajian Islam, UKM yang kembali ke rahmatullah disebabkan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya yang berlaku petang 12 November 2010 semasa mangsa dalam perjalanan pulang kekampung bagi menyambut Aidiladha berasama keluarga. Arwah merupakan anak sulung dari 9 orang adik beradik. Allahyarhamah tinggal di Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh Kelantan. Kehidupannya bersama ibu dan adik-adik amat memeritkan setelah pemergian ayahnya beberapa tahun yang lalu.
Hasil sara hidup keluarga hanya bergantung kepada hasil kerja menoreh getah orang lain oleh ibunya. Siti Esah diajar hidup dalam keadaan sentiasa dalam kesempitan hinggakan makan dan minum pun terabai. Beliau sentiasa mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis dek kerana kuatnya pegangan agama dan juga dihimpit kekurangan makanan.
Secara ringkasnya, beliau , merupakan pelajar cemerlang disekolah. Ini dibuktikan dengan beliau dinobatkan pelajar terbaik peringkat sekolah dan nombor 4 yang cemerlang diperingkat kebangsaan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia ( STAM ). Kemiskinan tidak menjadi alasan untuk dia berjaya dan juga mampu menjadi muslimat solehah.
Siti Esah merupakan harapan keluarga. Adik-adik yang masih kecil mengharapkan kakaknya ini bakal menjadi penyelamat untuk keluarga mereka. Ada adik Siti Esah yang tidak bersekolah kerana tidak mampu menampung kos perbelanjaan seharian. Ibu Siti Esah hanya mengharapkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan hasil perolehan jualan getah yang ditoreh. Menampung anak-anak yang ramai dan yang paling bongsu ialah yang berumur 2 tahun.
Pemergian Siti Esah cukup dirasai keluarga. Seolah-olah hilang sudah insan yang boleh diharap untuk keluarga meneruskan hidup. Ibunya cukup perit dan sengsara untuk menerima kenyataan bahawa anak harapan keluarga telah pergi bertemu pencipta. GAMIS mengucapkan takziah kepada keluarga dan mengharapkan ahli keluarga dapat menerima takdir Allah ini walaupun ia cukup pedih.
Alhamdulillah, wakil GAMIS berkesempatan untuk menziarahi keluarga Allahyarhamah dirumah beliau. Rombongan diketuai oleh Presiden GAMIS, Saudara Ahmad Syazwan dan Ahli Majlis Kerja GAMIS Pusat. Tidak ada perkataan yang boleh digambarkan apabila melihat rumah usang yang didiami keluarga. Dinding yang penuh berlubang, bumbung yang bocor, permukaan kayu yang sudah reput menjadikan kami rasa insaf akan nikmat yang diberikan Allah pada kami. Rumah Siti Esah tidak ada lansung peralatan elektrik, bilik hanya satu, dan terdapat 2 almari buruk yang menghiasi ruang.
Luluh dan runtuh hati kami melihat kedhaifan keluarga Siti Esah hingga melahirkan perasaan bertanggungjawab GAMIS untuk membantu keluarga beliau. Dengan usaha yang sedikit ini, diharapkan agar dpat membantu keluarga arwah. GAMIS telah bersetuju untuk melancarkan Derma Ihsan kepada keluarga Siti Esah melalui sumbangan daripada semua pembaca. Sumbangan barangan, makanan dan yang diperlukan dalam bentuk kewangan sangat dialukan. Disini dilampirkan nombor akaun ibu Siti Esah untuk disumbangkan terus kedalam akaun beliau:
Kamariah Binti Ismail
Bank Islam Malaysia Berhad : 030-900-02-003717-7
Untuk makluman, pihak jawatankuasa bertindak kampung telah bersepakat untuk mengusahan sumbangan bagi membina sebuah rumah baru yang lebih baik. Maka GAMIS turut bertanggungjawab untuk memohon derma dan sumbangan ikhlas dari mahasiswa mahupun orang ramai bagi meringankan beban keluarga arwah. Kos pembinaan rumah baru dianggarkan berjumlah RM 60000.
Moga derma dan sumbangan ini menjadi tanda kepada kita untuk menjadi seorang yang bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakan. Sebarang sumbangan berbentuk material, boleh disalurkan ke pejabat GAMIS melaui Naib Presiden Kemasyarakatan GAMIS, saudara Nazry di talian : 014-2336200. Ihsan anda amat dialukan.
Gambar rumah keluarga arwah :
bumbung rumah yang sentiasa bocor. cahaya malam hanya bersuluhkan mentol yang kecil sahaja. bayangkan suasana Siti Esah mengulangkaji pelajaran hingga berjaya ke menara gading
radio usang ini menjadi hiburan buat ahli keluarga. Ini sahaja peralatan elektrik yang kami lihat dirumah ini
Alas getah ini menjadi tilam untuk mereka tidur
sedikit sumbangan dari sahabat-sahabat GAMIS diterima oleh Puan Kamariah, ibu Siti Esah. Mukanya tenang dengan kepasrahan yang tak terluah
Rombongan GAMIS (12orang) bersama keluarga besar arwah termasuk adik-adiknya yang masih kecil
disini bersemadinya insan yang dicintai Allah. sambil mendengar sejarah hidup beliau yang diceritakan oleh Ustaz Nazry ( bekas Presiden GAMIS Kelatan 2003 ). Moga roh beliau ditempatkan dalam golongan beriman dan beramal soleh..
” hinanya kita diuji dengan nikmat kesenangan, dikala Allah memuliakan mereka yang sabar dalam ujian kekurangan “