GAMIS Bersama Peneroka FELDA Yang Ditindas

Kemelut yang berlaku di dalam Federal Land Development Authority (FELDA) sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Setelah banyak penyelewengan didedahkan, kredibiliti FELDA amat diragui. Perkara yang paling utama ialah sudah berapa lama warga FELDA ditipu?

Isu penyelewengan gred sawit, bantuan penanaman semula dan pelbagai lagi isu yang belum selesai sehingga membawa kepada perbicaraan di mahkamah. Ini sesuatu yang merisaukan kita semua.

Mahasiswa cukup dekat dan prihatin dengan isu yang membelenggu warga FELDA, kerana mereka merupakan warga dan rakyat yang mencari hak dan keperluan hidup di tanah air mereka sendiri.

Isu yang melibatkan lebih 112000 buah keluarga FELDA ini sangat mencuri tumpuan dan menagih simpati setiap inci rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ideologi politik.

Pengumuman yang dibuat oleh Dato Seri Najib Tun Abdul Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 lalu untuk menyenaraikan FELDA Global Venture Holding Sdn. Bhd. (FGVHSB) sebuah anak syarikat milik penuh FELDA ke dalam Bursa Saham Malaysia baru-baru ini cukup merunsing kita.

Cadangan ini secara langsung telah menggantikan hasrat Tun Dr. Mahathir yang dibatalakan ekoran daripada bantahan peneroka FELDA pada tahun 2004 untuk menyenaraikan Felda Holding Berhad.

Kita melihat, akan berlaku kesan manopoli dan wujudnya ruang untuk kapitalisme berleluasa. Apabila syarikat utama ini disenaraikan dalam bursa saham, ia bakal memperjudikan lebih 800 000 hektar tanah peneroka diseluruh negara yang diuruskan oleh FELDA Global Venture Bhd. Tanah yang disebutkan ini sepatutnya menjadi hak milik rakyat yang bekerja untuk membangunkannya dan bukan untuk digadai kepada golongan kapitalis.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) percaya bahawa ada agenda yang tidak baik di atas cadangan penyenaraian syarikat berkenaan ke dalam Bursa Saham yang dijangka dibuat pada pertangahan tahun hadapan.

Kita risau dan bimbangkan nasib peneroka dan generasi baru FELDA. Ke mana mereka ingin lari dan tinggal jika tanah mereka digadaikan di pasaran terbuka berkenaan?  Apa yang cukup menyedihkan kita juga ialah, maklumat sebegini sengaja tidak disampaikan kepada seluruh warga peneroka yang menyebabkan ada yang masih tidak sedar akan hal ini.

Agenda yang tidak baik itu juga makin jelas bila keluarnya arahan bercuti keluar negara ke atas Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF) , Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang telah berkhidmat selama 35 tahun. KPF yang  sebelum ini sangat cemerlang dengan integriti dan kemampuannya memacu industri pertanian, dan juga meningkatkan pendapatan negara dibawah kepimpinan Datuk Dzulkifli. Dalam isu ini dipercayai timbul usaha untuk menggantikan tempat beliau oleh individu yang bukan ahli KPF, secara langsung melanggar undang-undang tubuh KPF itu sendiri.

Ini sangat meragukan kita kerana ia seolah-olah dirancang bertepatan pula dengan pencapaian KPF yang cukup membanggakan dalam masa yang sama FELDA akan digadaikan dengan pelbagai rancangan dan program yang akan dilaksanakan.

Mahasiswa dengan tegas mendesak agar ditarik balik cadangan penyenaraian FGVHSB ke dalam Bursa Saham Malaysia dengan kajian kesan mendatang secara terperinci. Kita juga mendesak supaya sebarang penyelewengan terhadap peneroka dibawa ke muka pengadilan. Cukuplah berpuluh tahun wang mereka ditipu dan hak mereka telah dinafikan. Mahasiswa dengan tegas akan meperjuangkan isu ini kerana isu sangat dekat dengan mahasiswa iaitu dengan jumlah lebih 76, 000
anak peneroka Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.


Akram Ikrami bin Taib Azamudden
Presiden GAMIS

Posted by GAMIS on 9:53 PG. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

Bersama GAMIS di laman FaceBook : FaceBook GAMIS Pusat

0 comments for GAMIS Bersama Peneroka FELDA Yang Ditindas

Leave comment



GAMIS atau nama penuhnya, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia adalah salah satu badan mahasiswa yang terbesar dan antara tertua di Malaysia. GAMIS merupakan NGO mahasiswa yang menjalankan pelbagai aktiviti, termasuklah aktiviti dakwah, siasah, dan kebajikan. GAMIS juga sebagai badan bertindak dalam memperjuangkan pelbagai isu di kampus mahupun di luar kampus untuk kesejahteraan ummat sejagat.

Photobucket