Pertemuan Ukhwah Eratkan GAMIS-PEMBINA

Kuala Lumpur, 8 Jun – Satu pertemuan telah diadakan antara pimpinan GAMIS dan PEMBINA yang bertempat di Ibu Pejabat Pembina, di Bangi, semalam. Pertemuan ini bertujuan untuk memperkenal orientasi gerakan antara kedua-dua entiti di samping mencari ruang dan titik persamaan antara kedua-dua gerakan.

GAMIS diwakili oleh Timbalan Presiden, Muhammad Zaki Sukery, Pengerusi Srikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA), Nazirah Abu Bakar dan Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Kampus (MDK), Syahirah Zulkifli. Manakala PEMBINA turut diwakili oleh Timbalan Presiden, Ibrahim Hasan, Jawatankuasa Informasi, Tengku Asyraf Tengku Mohd Nor Izam dan Sekretariat Beliawanis, Roszia Kamaruddin.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam itu, banyak perkara telah dikongsikan bersama antara kedua-dua pimpinan. Bermula dengan pengenalan ringkas tentang GAMIS dan PEMBINA, pimpinan turut berkongsi idea dan bertukar fikiran berhubung halatuju dan pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua entiti. Kemudian, turut dibincangkan tiga isu besar terkini berkaitan orientasi gerakan anak muda. Pertamanya, GAMIS dan PEMBINA bersepakat bahawa Gerakan Mahasiswa Islam perlu lebih terkehadapan dan menonjol dalam membawa isu-isu kemahasiswaan sama ada di peringkat kampus atau di peringkat nasional bagi menarik massa kampus untuk bersama-sama dengan arus gerakan ini. Hal ini demikian disebabkan oleh jalur-jalur liberalis,sosialis dan nasionalis kini mula semakin mengakar di kampus. 

Seterusnya, para pimpinan turut membincangkan soal ketidakcaknaan sekelompok mahasiswa yang seringkali dicanangkan sebagai pelapis pimpinan, tetapi masih kurang kesedaran tentang hak dan kewajipan, sama ada sebagai seorang mahasiswa, pengundi, dan pelapis pimpinan. Di samping mengaitkan ia disebabkan oleh peraturan-peraturan tidak munasabah kampus dan layanan tidak sama rata kepada kumpulan tertentu mahasiswa, yang menyebabkan mahasiswa menjadi tidak mahu ambil peduli kepada hak dan kewajipan siswa mereka, faktor ketidakcaknaan ini turut disebabkan oleh kebosanan mahasiswa dalam sepak terajang politik negara yang semakin tiada hala tuju dan prinsip. 

Akhir sekali, turut dibincangkan isu kemampuan mahasiswa Islam untuk mengisi ruang-ruang yang penting di dalam domain kenegaraan. GAMIS dan PEMBINA turut bersepakat bahawa Mahasiswa Islam harus ke hadapan dalam mengisi ruang-ruang kosong yang bersifat signifikan sebagai pemutus polisi kenegaraan ke arah melahirkan sebuah negara dan masyarakat yang berteraskan “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur”.

Posted by GAMIS on 12:23 PTG. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

Bersama GAMIS di laman FaceBook : FaceBook GAMIS Pusat

0 comments for Pertemuan Ukhwah Eratkan GAMIS-PEMBINA

Leave comment



GAMIS atau nama penuhnya, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia adalah salah satu badan mahasiswa yang terbesar dan antara tertua di Malaysia. GAMIS merupakan NGO mahasiswa yang menjalankan pelbagai aktiviti, termasuklah aktiviti dakwah, siasah, dan kebajikan. GAMIS juga sebagai badan bertindak dalam memperjuangkan pelbagai isu di kampus mahupun di luar kampus untuk kesejahteraan ummat sejagat.

Photobucket