MAHASISWA TIDAK PERLU SKEPTIS DALAM ISU NUKLEAR


Secara peribadi, saya merasakan isu cadangan untuk membina loji nuklear di Malaysia perlu dinilai secara adil oleh semua pihak. Hal ini perlu dinilai tanpa sebarang prejudis fahaman politik. Semua pihak perlu menilai secara halus berkenaan Pro dan Kontra cadangan tersebut. Hanya kerana Tsunami yang berlaku di jepun, pelbagai idea pesimis menerjah ruang media biarpun isu sebenar belum diperjelaskan oleh pihak kerajaan.

Nilai Isu Secara Adil

Saya juga terbaca beberapa pandangan yang bagi saya amat tidak wajar untuk dijadikan hujah dalam menafikan cadangan kerajaan untuk membina loji jana kuasa nuklear di Malaysia. Salah satu hujah yang menarik minat saya ialah terdapat pihak yang cuba mengaitkan peristiwa bumbung stadium runtuh sebagai kayu ukur dalam meragui keupayaan Malaysia untuk mengembangkan teknologi nuklear. Bagi saya, hujah ini adalah tidak adil dan terlalu bersifat prejudis terhadap kerajaan Malaysia. Mengapa tidak kita jadikan kehebatan binaan Putrajaya, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar, Terowong SMART, dan perlbagai lagi projek mega kerajaan sebagai bukti Malaysia mampu merialisasikan cadangan loji nuklear ini. Saya kira perbandingan bumbung stadium runtuh ini adalah satu usaha propaganda pihak tertentu dalam membina persepsi negatif rakyat tanpa berlatarkan hujah ilmiah. Jika pun ingin mempertikaikan kemampuan Malaysia berhubung isu ini, mestilah berdasarkan fakta yang jelas menunujukkan kelemahan Malaysia dalam mengurus teknologi baru.

Mahasiswa Perlu Fokus Kepada Isu Sebenar Dan Bukan Propaganda

Saya merasakan mahasiswa sewajarnya memberi tambahan maklumat terhadap fokus perbincangan dan bukan sekadar bermain disekitar pesemisme terhadap isu. Saya kira ada beberapa isu yang sepatutnya menjadi tumpuan untuk mahasiswa memberi input tambahan untuk dipertimbangkan semua pihak. Antaranya isu keselamatan, isu kos, dan isu tenaga pakar dalam negara. Mahasiswa sewajarnya mampu memberi cadangan yang praktikal untuk ditimbang tara oleh pihak yang berkaitan. Dalam isu keselamatan misalnya, Kerajaan perlu memberi jaminan secara terperinci mengenai mekanisme keselamatan sekiranya pembinaan janakuasa nuklear dijalankan. Bukan sekadar keselamatan proses janakuasa, tetapi juga sektor keselamatan terhadap bahaya luar jangka. Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa ancaman bencana alam seperti di jepun tidak mungkin berlaku di Malaysia. Dalam masa yang sama kerajaan sendiri masih gagal memberi penjelasan kepada rakyat berhubung gegaran kecil yang semakin kerap berlaku di Malaysia.

Menyentuh kos pula, dibandingkan dengan janakuasa minyak dan nuklear, ternyata kos untuk mendapatkan rod uranium adalah terlalu mahal disamping kos pembinaan reaktor janakuasa yang sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan sistem janakuasa sedia ada. Dalam keadaan ekonomi negara yang masih tidak stabil, apakah wajar kerajaan membelanjakan kewangan yang besar untuk pembinaan loji nuklear ini sedangkan sumber tenaga sedia ada masih mampu menampung keperluan negara. Saya kira, dengan peruntukan yang sebegitu besar lebih sesuai digunakan untuk menaiktaraf sektor-sektor yang boleh memberi kesan terus kepada ekonomi negara seperti sektor pertanian dan mengemaskini serta menaiktaraf industri petroleum.

Biar Rakyat Jadi Hakim

Dalam isu pembinaan loji nuklear 2023 ini, saya kira rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk memperjelaskan mengenai cadangan tersebut secara terperinci. Hanya dengan cara itu segenap lapisan rakyat akan lebih memahami mengenai latar dasar cadangan dan gambaran keseluruhan idea janakuasa nuklear tersebut. Saya juga mengharapkan agar tidak ada pihak yang membuat provokasi murahan bagi membangkitkan persepsi negatif rakyat terhadap usaha pihak kerajaan ini. Setelah rakyat benar-benar memahami, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menerima apa juga pandangan dan kehendak rakyat mengenai cadangan tersebut.

Saya juga mengingatkan pihak kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan dengan melaksanakan dasar-dasar yang membelakangkan rakyat. Isu PPSMI adalah pengajaran terbaik untuk pihak kerajaan mengambil iktibar agar setiap dasar yang ingin diputuskan oleh kabinet mestilah mengutamakan kehendak rakyat.


Ahmad Syukri Ab Razab

Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis.


Blog beliau boleh dilawati melalui :
www.bingkisanaku.blogspot.com


Posted by GAMIS on 4:13 PTG. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

Bersama GAMIS di laman FaceBook : FaceBook GAMIS Pusat

0 comments for MAHASISWA TIDAK PERLU SKEPTIS DALAM ISU NUKLEAR

Leave comment



GAMIS atau nama penuhnya, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia adalah salah satu badan mahasiswa yang terbesar dan antara tertua di Malaysia. GAMIS merupakan NGO mahasiswa yang menjalankan pelbagai aktiviti, termasuklah aktiviti dakwah, siasah, dan kebajikan. GAMIS juga sebagai badan bertindak dalam memperjuangkan pelbagai isu di kampus mahupun di luar kampus untuk kesejahteraan ummat sejagat.

Photobucket