Piket Pro-Mahasiswa Nasional & Penyerahan Memorandum
isu semasa, terkini 5:30 PG
PUTRAJAYA, 28 Jan : Pro-Mahasiswa Nasional telah menganjurkan piket mahasiswa yang berlangsung pada jam 3 petang ini di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merupakan julung-julung kalinya diadakan pada tahun 2011 serta menyaksikan satu lagi tanda aras kebangkitan mahasiswa pada tahun 2011 yang sentiasa cakna terhadap sebarang permasalahan yang melanda kampus-kampus universiti di seluruh Malaysia.
Piket Pro-M Nasional ini mengumpulkan beberapa pimpinan mahasiswa dari beberapa front mahasiswa di seluruh Malaysia termasuklah dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA), Pro-Mahasiswa (Pro-M) dari beberapa kampus sekitar Lembah Klang.
Himpunan yang disertai lebih kurang 30 mahasiswa bertujuan menghantar satu deligasi yang terdiri daripada beberapa pimpinan mahasiswa untuk menyerahkan memorandum tuntutan mahasiswa kepada Menteri Pengajian Tinggi; Dato’ Seri Khaled Nordin.
Memorandum berkenaan antaranya menuntut KPT memastikan proses pilihan raya kampus berjalan secara bersih, penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya di peringkat mahasiswa dan mewujudkan badan bebas untuk memantau proses pilihanraya di setiap kampus seluruh negara.
Menurut pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Syukri Ab. Razab, pilihan raya kampus sebelum ini sangat teruk dengan penyelewengan yang dilakukan pihak Hal ehwal Pelajar (HEP).
"Kita merasakan PRK 2010 adalah paling kotor, pencabulan demokrasi paling teruk dalam sejarah mahasiswa.
"Memorandum yang kita hantar hari ini adalah bagi meminta penambahbaikan iaitu penelitian dari pihak Menteri sendiri agar cadangan ini diperhalusi supaya perkara seleweng yang lepas tidak berulang," katanya selepas penyerahan memorandum berkenaan.
Pengerusi Pro-M Nasional, Muhammad Taufiq Abdul pula menyatakan, mahasiswa tidak mahu ada campur tangan mana-mana parti politik dalam pilihan raya kampus kali ini sebaliknya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa menentukan halatuju mereka.
"Kita minta dalam pilihan raya kampus ini tidak ada campur tangan mana-mana parti politik sama ada PAS atau BN.
"Kita harap demokrasi kampus dapat dikembalikan, kita desak mansuhkan undi di kolej kediaman dan menukar pusat pengundian dari kolej ke fakulti. Kita melihat ada pihak tertentu akan memanipulasi undi mahasiswa," katanya.
Tuntutan yang dibuat juga berkenaan pemansuhan e-voting dan juga tarikh pilihan raya diumumkan lebih awal, tempoh berkempen untuk pilihan raya dipanjangkan serta pemberian cuti pada hari penamaan calon dan pembuangan undi.
Turut hadir Ketua Penerangan GAMIS, saudara Mohd Yusof Hadhari, katanya mahasiswa meminta pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi respon segera serta mengambil perhatian yang serius terhadap beberapa tuntutan yang dibuat yang mana mewakili front-front mahasiswa seluruh Malaysia.
“ Di peringkat GAMIS, kita akan pastikan pilihan kampus sepertimana pada tahun 2010 tidak lagi berulang, dan kita harapkan usaha-usaha seperti ini di sambut baik oleh pihak KPT bagi memastikan lahir mahasiswa yang berintigriti sebagai pelapis kepimpinan Malaysia pada masa depan.” katanya.
Penyerahan memorandum ini merupakan permulaan, dan akan ada tindakan susulan selepas ini.
Posted by GAMIS
on 5:30 PG.
Filed under
isu semasa,
terkini
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0