AL-IBAHIYYAH: Melengkapkan Syarat Sebuah Kemusnahan
isu semasa, terkini 6:49 PTG
-Foto ihsan Malaysiakini.Com “If there is one lesson which history has taught us, it is the fundamental importance of will power, as much for nations as for individuals, and in every circumstance of life, great or small. Greek civilization ended in failure, not because of the lack of intelligence, but because of the lack of [...]
-Foto ihsan Malaysiakini.Com
“If there is one lesson which history has taught us, it is the fundamental importance of will power, as much for nations as for individuals, and in every circumstance of life, great or small. Greek civilization ended in failure, not because of the lack of intelligence, but because of the lack of character, of morality!” - George Sarton, petikan buku Introduction to the History of Science.
Bukan agama tidak memberitahu.
Bukan sejarah tidak membentang realiti.
Hanya diri yang angkuh menolak bukti.
Benarlah HEDONISM itu didefinisikan sebagai berpaksi kepada PSYCHOLOGICAL EGOISM.
Saya hampir-hampir tidak mampu membicarakan hal ini dari sudut Islam kerana tidak yakin apakah ada secebis Islam telah dirujuk dalam penghasilan polisi sebegini. Halal dan Haram sudah tidak kelihatan, istilah berkat dan laknat, jauh sekali.
Segalanya tulen bersifat pleasure minus pain.
Ke mana perginya pelbagai slogan, gagasan dan rancangan berkaitan Islam semenjak era Penerapan Nilai-nilai Islam ke zaman Islam Hadhari?
Modal insan?
Semasa media berbual panjang tentang pembuangan bayi, pertambahan jumlah penagihan dadah, pesakit AIDS, kemusnahan akhlak generasi muda malah tua, jenayah yang sudah tidak terkawal, zina yang sudah hampir tenggelam daripada kejanggalan budi, bagaimana Program Transformasi Ekonomi (ETP) menawarkan solusi berupa menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan?
Petikan PEMANDU.GOV.MY di bawah NATIONAL KEY ECONOMIC AREAS: TOURISM:
“4—Events, entertainment, spa and sports: Malaysia lags our neighbours in the magnitude and variety of events as well as in our nightlife offerings. Hosting more international events and promoting a vibrant nightlife is necessary to attract tourists and provide a boost to the tourism industry.”
Hanya dengan membuat perbanding bersama negara jiran, yang jelas mendukung falsafah negara yang berbeza, kita terlalu tergesa-gesa membuat kesimpulan tindakan mahu menawarkan kehidupan malam yang lebih.
Lupakah kepada Rukunegara?
Kepercayaan kepada Tuhan?
Kesetiaan kepada Raja dan Negara?
Keluhuran Perlembagaan?
Kedaulatan Undang-undang?
Kesopanan dan Kesusilaan?
Berapa yang tinggal?
LAPORAN MALAYSIAKINI.COM
Laporan Malaysiakini bertarikh 26 Oktober 2010 menyebut seperti berikut:
Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.
Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika – Adam Lambert yang seorang ‘gay’.
foto: Malaysiakini.Com
Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.
Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Kriteria berkenaan adalah:
* Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
* Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
* Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.
Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.
Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.
foto: Malaysiakini.Com
Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan
Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.
Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
“Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020,” petik laporan itu.
Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan
Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.
Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.
Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.
SOLUSI APAKAH INI?
Pelancong-pelancong dari negara maju pergi ke destinasi seperi Malaga, Majorca, Ibiza, Faro, Alicante dan Palma untuk melempiaskan nafsu hedonistik mereka, kemudian pulang ke negara masing-masing untuk kembali memacu tamadun. Tiada satu pun lokasi itu menjadi simbol kemakmuran hidup dan kemajuan untuk dijadikan uswah menjana ekonomi negara kita Malaysia.
Justeru apakah yang dipercayai oleh manusia-manusia berkebijakan ekonomi perangka ETP ini?
Andai ada keuntungannya sekali pun, apakah ia mahu diraih di atas kemusnahan anak watan?
Atau kita memang teruja dengan hakikat bahawa nama-nama seperti Malaga, Majorca dan Ibiza itu adalah BEKAS TANAH AIR UMAT ISLAM? Seperti kemusnahan Beirut yang sudah lebih awal menjadi hub hiburan serantau bergelar Paris of the Middle East?
Mahu menjadikan Malaysia sebagai bekas tanah air umat Islam?
Sungguh sukar untuk difahami.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeluh tentang gejala sosial, diskriminasi wanita, dan keruntuhan institusi rumahtangga, Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak cukup tangan menangani krisis sedia ada, tiba-tiba semuanya itu mahu digandakan dengan solusi sejelek ini.
Atau apakah semuanya hanya berupa sebuah hipokrasi?
PERMISSIVE SOCIETY
Biar pun UMNO berada di dalam mood survival dengan persembahan lemahnya pada Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, tanpa mengambil kira faktor terakhir itu, ETP dengan begitu drastik berani mempromosikan sebuah gagasan ke arah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai sebuah PERMISSIVE SOCIETY. Ia adalah istilah yang dirujuk kepada masyarakat yang norma-norma sosialnya semakin berubah menjadi liberal. Perubahan itu termasuk pada mengubah pandangan terhadap sesuatu yang pernah dianggap sebagai salah dan sesat.
Perkara yang baik dan buruk menurut neraca Islam, dinamakan sebagai MAARUF (معروف) vs MUNKAR (منكر). Perkataan MAARUF yang terbit daripada kata akar ‘ARAFA (عرف) itu bermaksud sesuatu yang diketahui umum (a norm) dan menjadi kebiasaan orang ramai. Manakala perkataan MUNKAR yang terbit daripada kata akar NAKARA (نكر)memberi maksud sesuatu yang dibantah atau diingkari kerana kejanggalannya terhadap masyarakat.
Betapa anjalnya perkataan itu, Allah Subhanahu wa Ta’aala mahu memperingkatkan kepada kita betapa definisi baik dan buruk amat terkait rapat dengan perkembangan amalan kebiasaan di persekitaran kita. Apabila usaha dakwah lumpuh, masyarakat mula menerima sesuatu yang jahat dan keji sebagai kebiasaan, maka kebaikan mula menjadi MUNKAR dan kejahatan menjadi MAARUF.
Itulah falsafah PERMISSIVE SOCIETY.
Ia disebut di kalangan pengkaji Islam sebagai AL-IBAHIYYAH (الإباحية) iaitu Gerakan Pengharus!
Gerakan yang berusaha untuk mengharuskan apa sahaja hingga hampir-hampir tiada pantang larang kecuali ‘jangan ganggu orang lain’.
Tragis sekali, kita sesungguhnya sedang menuju ke arahnya.
Antara yang mahu diubah: Syarat-syarat ketat yang polisi moral yang keterlaluan??? [petikan daripada PEMANDU.GOV.MY di bawah cabang TOURISM]
Marilah kita bersama merenung firman Allah yang Maha Esa ini buat peringatan kita bersama:
“Orang-orang Munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang daripada perbuatan yang baik. Dan mereka pula menggenggam tangannya (bersifat bakhil kedekut). Mereka telah melupakan Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang Munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.” [Al-Taubah 9: 67]
MASIH SEBUAH PELAN
Sesungguhnya masih belum terlambat. Masih punya masa. Nafas masih mengisi dada, mentari masih setia di ufuknya.
Nasihatilah diri dan keluarga, nasihatlah rakan dan jiran tetangga. Nasihatlah masyarakat dan orang ramai. Nasihatlah semua yang sampai nasihat kita kepadanya.
Namun nasihat khusus buat pemimpin negara, murka Tuhan jangan dileka, balanya ke atas kamu, kami dan anak-anak kita.
Akhirnya:
Oleh itu, biarkanlah mereka (Wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)! [al-Ma'aarij 70: 42]
Selamatkanlah negara kami ya Allah!
Julius Caesar sedang menggula-gulakan Rom dengan hiburan menuju kehancuran!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
p/s: tidak cukup maruah untuk mengulas peranan Ulama Muda UMNO