Coretan Lebaran : 'Di hujung Ramadhan, di ambang Syawal'

oleh : Mohd Afiq Bin Mohd Salleh*

'Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan batin’

Begitulah ungkapan yang bakal didengari menjelang Syawal nanti, tidak kurang beberapa masa lagi ia akan menjelma menggantikan tugas Ramadhan yang berakhir. 30 hari serasa tidak mencukupi untuk berbulan madu dengan-Nya. Seakan rahmat itu belum puas diraih. Kalau diberi pilihan dan peluang, biarlah Ramadhanitu bertamu sepanjang tahun tanpa ada yang menjarak, agar usaha menggapai redha ALLAH tidak putus-putus.

Pulangnya Ramadhan bukan bermakna berhentinya rutin tarbiyyah ruhiyyah di dalam diri, tetapi tugas bagi memastikan kelangsungannya berjalan sepanjang hayat adalah terletak di bahu manusia sehinggalah akhirnya nanti ia bertemu ajal ketika menemui Tuhannya. Gunanya ‘Madrasah Ramadhan itu bertujuan memastikan manusia bisa menjalani 11 bulan berikutnya dengan kehidupan yang terpimpin dan harmoni imannya. Ramadhan seumpama perumah yang memberikan aspirasi energy kepada manusia untuk melalui kehidupan seterusnya. Tanpa Ramadhan, mungkin kekuatan untuk memperbaharui tenaga ruhiyyah tidak dapat dicas kembali.

Itulah keistimewaan Ramadhan. Namun, tidak ramai yang mengangis tatkala ia pergi dari menjadi tamu manusia.

Sampai kini, Syawal tetap menjadi keseronokkan manusia, yang mana kehadirannya lebih dinanti-nantikan berbanding menyambut kenikmatan Ramadhan. Maka, oleh sebab itulah kehadiran Ramadhan hanya dirasai kerana di siang harinya manusia seolah ‘dipaksa’ untuk berlapar dan dahaga. Malah, ada yang merasainya bahawa Ramadhan adalah sebuah bebanan.

Syawal nanti masanya untuk bermuhasabah diri, ke mana diri mampu dibawa sepanjang melalui sebulanRamadhan. Bersuka-ria tidaklah menjadi kesalahan, tetapi koreksi itu akan menyedarkan kita betapa kedatangan Syawal itu adalah untuk meraikan umat manusia daripada belenggu nafsu dan syaitan. Praktikalnya adalah di luar Ramadhan. Jika gagal melaluinya, Ramadhan kita belum lagi mencapai tahap terbaik, iaitu puasa yang menghasilkan nilai ketaqwaan kepada ALLAH taala.

Saya selalu berasa gusar setiap kali mahu menghabiskan sebulan Ramadhan, ungkapan ‘Ramadhan terakhir’ kerap menakut-nakutkan. Jika benar ia terjadi, ia bakal menjadi sesalan buat saya kerana Ramadhan kali ini bukanlah terbaik untuk saya. Anda juga manusia seperti saya, bakal menemui Ramadhan sesi hadapan jika masih dipanjangkan usia. Lalu, janganlah terlalu kikir dan bakhil untuk bermujahadah setiap kali munculnyaRamadhan. Mana tahu, Ramadhan ini Ramadhan yang pertama dan terakhir untuk anda.

Amat rugilah kita, andai Ramadhan telah pun berlalu tetapi dosa kita masih lagi berbaki. Maka terjauhlah kita daripada golongan yang disebut oleh Nabi saw iaitu: ‘Ma taqoddama min zambih’ (diampunkan dosanya yang telah lalu)

HIDUPKAN TRADISI KITA

Tidak semestinya perlu menunggu ketibaan Syawal, barulah ingin menghidupkan amalan bermaaf-maafan, di bulan-bulan biasapun tidak salah kalau mahu bermaafan. Para sahabat pun mengajar agar amalan memaafkan setiap orang sebelum tidur dilakukan setiap hari.

Orang Melayu kita amat berbeza, Syawal adalah bulan untuk bermaafan dan memaafkan segala dosa. Saya kira jika tiadanya bulan Syawal, maka orang Melayu kita akan berpanjangan bermasam muka sepanjang tahun. Namun demikian, ia lebih elok dilakukan berbanding ia tiada langsung. Tradisi mulia ini harus diteruskan kelangsungannya.

Ketika itulah mahu bersua muka dengan sanak famili memohon ampun daripada kesalahan yang lalu. Kadangkala dosa yang dilakukan kita buat tanpa sedar. Maka ketika itulah peluang untuk kita memohon keampunan sesama manusia. Yang ‘termengumpat’ atau terambil hak, atau tersalah bahasa yang mengguris hati atau segala macam dosa perlu dilangsaikan sebelum datangnya ajal yang kita tidak tahu bila tibanya.

Orang Melayu walaupun kaya dengan adat, mereka tidak pernah memisahkannya dengan ibadat. Salah satunya amalan bermaaf-maafan di pagi Syawal adalah bukti sunnah ini diamalkan bersama adat.

Jika tradisi ini berterusan, hubungan sillaturrahim kita akan terus berpanjangan.

Penghujung Ramadhan ini, saya memohon kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh pembaca dan pengunjung blog ini. Pastikan Ramadhan yang ditinggalkan telahpun kita perolehi segala nikmat yang kita mahukan. Untung rugi di tangan kita sendiri.

Penulis merupakan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Jordan (MPPJ). Blog 'Kehidupan' beliau boleh dilawati melalui afiqsaleh.blogspot.com

Posted by GAMIS on 5:17 PTG. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

Bersama GAMIS di laman FaceBook : FaceBook GAMIS Pusat

0 comments for Coretan Lebaran : 'Di hujung Ramadhan, di ambang Syawal'

Leave comment



GAMIS atau nama penuhnya, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia adalah salah satu badan mahasiswa yang terbesar dan antara tertua di Malaysia. GAMIS merupakan NGO mahasiswa yang menjalankan pelbagai aktiviti, termasuklah aktiviti dakwah, siasah, dan kebajikan. GAMIS juga sebagai badan bertindak dalam memperjuangkan pelbagai isu di kampus mahupun di luar kampus untuk kesejahteraan ummat sejagat.

Photobucket