Perutusan Ramadhan Presiden ISIUKM
Dari Pimpinan 2:33 PG
Berikut adalah perutusan penuh Presiden Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM), Mohd Nazri Bin Mohd Tahir sempena kedatangan bulan Ramadhan.
Alhamdulillah,syukur kepada Allah s.w.t,Tuhan sekalian alam yang telah memberikan kita ruang untuk menikmati bulan yang dinantikan dan dirindui oleh umat Islam,iaitu bulan Ramadhan,bulan yang terkandung di dalamnya ganjaran melebihi seribu bulan,bulan yang diturunkan al-Quran di dalamnya,dan pelbagai fadhilat yang sangat banyak untuk direbut oleh orang Islam khususnya.
Bulan Ramadhan,Bulan Tarbiyah
sebagaimana yang kita ketahui,bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan pengajaran yang boleh di ambil.Kisah Badar al-Kubra,Kisah Pembukaan Kota Mekah,dan beberapa kisah sirah Nabi Muhammad S.a.w yang boleh dijadikan sebagai peledak keimanan dalam diri.Tentunya setiap kejayaan yang berlaku di bulan Ramadhan satu masa dahulu dapat dibongkar rahsianya.Persoalan keimanan,aqidah yang mantap,semangat jihad mempertahankan Islam walau diuji dengan dugaan dan cabaran,dan banyak lagi pengajaran yang boleh kita contohi khususnya dalam situasi hari ini,di mana umat Islam semakin hanyut dibuai kelenaan hasil kesan penjajahan Barat satu masa dahulu.Maka,dengan ini,umat Islam khususnya masyarakat kampus lebih lagi mahasiswa Islam yang mendominasi komuniti kampus sewajarnya menjadikan bulan ramadhan ini sebagai bulan mentarbiyah diri supaya menjadi lebih baik dan berkualiti,berpegang kepada agama dengan kuat, dan menjadi insan yang berkualiti bukan sahaja pada diri sendiri malah dapat dikongsikan bersama masyarakat di luar.
Ramadhan yang sama,Natijah yang berbeza
Bulan Ramadhan juga bulan untuk kita melatih dan membentuk diri menjadi orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah 183 yang berbunyi :
" Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
Bulan Ramadhan silih datang dan pergi saban tahun,namun persoalannya,sejauhmana kualiti ibadah yang kita laksanakan diterima oleh Allah s.w.t.?Apakah dengan ibadah yang sedikit kita laksanakan menjanjikan kita untuk diterima amalan oleh Allah?pastinya kita tidak dapat memberi jaminan tersebut.Justeru,di bulan Ramadhan yang mulia ini,marilah kita bersama-sama merebut peluang yang Allah berikan kepada kita dengan memenuhinya dengan amal ibadah.Mudah-mudahan segala urusan kita lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini diterima oleh Allah s.w.t hendaknya.Dekatkanlah diri kepada Allah s.w.t menerusi solat malam,bertadarus al-Quran membetulkan bacaan,menyebarkan salam dan sebagainya.Kalau bukan kita sebagai mahasiswa Islam yang akan menggerakkannya,siapa lagi yang akan berusaha untuk menjulang Islam?
Untuk akhirnya,Saya mewakili barisan kepimpinan Ikatan Studi Islam,Universiti Kebangsaan Malaysia mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua rakan-rakan mahasiswa dan masyarakat kampus yang beragama Islam.Semoga Ramadhan pada kali ini memberikan impak yang besar kepada kita untuk menjadi mukmin yang soleh dan bertaqwa kepada Allah.
Mohd Nazri Mohd Tahir
Presiden
Ikatan Studi Islam (ISIUKM) 10/11