Kolumnis : Strategi pengurusan ahli gerakan
KOLUMNIS 10:39 PG
Penglibatan kita dalam aktiviti organisasi, tidak dapat tidak kita akan merasai masalah pengurusan yang tidak teratur. Ini akan bertambah jika kita menangguhkan tugasan, tidak meluahkan masalah semasa kepada rakan karib, tekanan makin lama makin besar dan banyak. Benarkah masalah kita hadapi besar, atau masalah kita sendiri yang lemah dalam menguruskan masa? Apa yang saya nyatakan di sini adalah pandangan sahabat saya dan pengalaman saya semasa menjadi penggerak kepada gerakan di kampus. Pengalaman yang diperolehi dalam sepak terajang serta jatuh bangun dalam aktiviti kemahasiswaan amat banyak dan mematangkan saya, dan moga ianya merupakan kekuatan pada saya untuk berkongsi bersama
APA MASALAH KITA?
Masalah pembahagian masa ini adalah berkait rapat dengan minda seseorang. Sekiranya makin kompleks masalah bermain dalam minda, makin kusutlah fikiran seseorang untuk dirungkaikan, menyebabkan masalah pembahagian masa tidak teratur. Bebanan dalam kotak fikiran ini boleh menyebabkan motivasi kita akan turun, tambahan pula apabila ianya memberikan kesan pada sesuatu yang amat menakutkan ianya terjadi ke atas diri kita. Misalannya akademik dan keluarga. Perkara ini merupakan tanggungjawab dan maruah ke atas diri kita, jadi persoalan gerak kerja dan aktiviti kemahasiswaan akan menjadi perkara kedua apabla ianya bertembung.
Apabila kita telah hanyut dengan masalah itu, perasaan rendah diri(inferiority complex), moral lemah (demoralized) akan berlaku. Kesan paling buruk lagi ialah akan berlaku gejala (futur 'ala tariq al da'wah) atau paling ditakuti terjadinya sesuatu yang disebut mereka yang tercicir di jalan dakwah(mutasaqit 'ala tariq al da'wah).
Gejala futur atau layu yang disebut oleh Fathi Yakan apabila dinilai dan dilihat dalam perspektif kita, ia lebih tepat berbanding istilah mutasaqit.Saya berpandangan begitu kerana, ahli kita masih lagi sensitif dan tersentuh jika mereka dilabelkan mutasaqit. Cuma komitmen mereka agak kurang, tetapi ternyata daya sensitif berkenaan menunjukkan kita masih sayang kepada gerakan dan janji kita , cuma mereka ini dibelenggu oleh pelbagai masalah dan antara masalahnya ialah seperti yang saya bincangkan di sini.
JALAN PENYELESAIAN
Setelah kita mengetahui masalah yang menimpa kita, bagaimana nak rungkaikan persoalan dan masalah ini? Ini yang menjadi persoalan pokok ke atas kita. Sebenarnya masalah kita terlalu sedikit sahaja, tetapi apabila ia telah bercampuraduk dan bergaul dalam otak kita, maka kita merasakan ianya terlalu banyak. Itulah faktor mengapa dikatakan sedemikian. Oleh itu, kita hanya perlu keluarkan masalah itu keluar dalam pemikiran kita. Usaha ini memerlukan kekuatan daya kognitif dan mental yang kuat. Ada beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh setiap ahli yang hendak lakukan perubahan dalam masalah pembahagian masa mereka. Berikut langkahnya :
Langkah Pertama:
Tanamkan azam dalam diri anda dengan menulangkan dalam hati bahawa anda akan berubah ke arah menjadi individu yang bijak mengurus (smart person).
Langkah kedua:
Sila buat keutamaan dalam masalah. Buat kategoriterhadap masalah tersebut. Contoh;
1) MASALAH UTAMA
Masalah ini memerlukan kita bertindak segera, dan tidak boleh diserahkan pada orang lain untuk menyelesaikannya.
2) MASALAH MEMERLUKAN PERHATIAN
Masalah ini memerlukan tindakan bijak kita mengagihkan tugasan kepada sesiapa yang boleh mewakilkan kita. Kebijaksanaan kita men'divert' tugasan ini dapat menyelesaikan masalah tersebut. Anda hanya perlu memantau, memberi inisiatif (belanja kawan yang menolong kita @ pujian), dan berterima kasih kepada mereka yang membantu anda.
3) MASALAH BIASA
Masalah jenis ini tidak perlu difikirkan sangat. Masalah ini tidak terlalu serius. Kadangkala, masalah ini hanya memerlukan kita membuat panggilan, mohon maaf atau langkah yang tidak memerlukan masa yang lama, perhatian yang lebih dan tenaga yang banyak.
Bagi pengisian kita, ahli gerakan perlu istiqamah dan konsisten dalam amalan. Biar sedikit tetapi konsisten. Amalan yang tidak terlalu sukar ialah amalan ma'thurat setiap pagi dan petang, puasa sunat Isnin dan Khamis, solat tahajjud tak memerlukan tunggu kita tidur dahulu, kalau dah tidur pukul 1.30 atau pukul 2.00 pagi, jadi tunaikanlah solat sebelum tidur. Atau bangun awal sebelum menunaikan solat subuh lakukan solat sunat tahajjud. Pengisian pula, beli kaset ceramah, Tuan Guru atau sebagainya, pasangkan semasa kita lapang atau berbual di bilik. Ikhlas dan Istiqamah (5 amalan asas : al-quran 50 ayat @ 2 maqra, tahajjud, al-mathurat, al-mulk, puasa, solat rawatib). Untuk menjaga akhlak dan hafalan pastikan kita fokus (semasa mentelaah, di dalam kelas, hidupkan budaya bertanya) dan sering kali diulangi (sekurang 3, 5, 7 atau 10 kali) dalam setiap kali hafalan. Pastikan juga jaga pemakanan dan sumber yang digunakan adalah dari sumber yang halal.
Keluarga: Ini memerlukan kita bijak berhadapan dan menjelaskan kepada keluarga. Masalah utama kita ialah keluarga tidak tahu situaasi kita di kampus. Anda selaku anak harus berterus terang setakat mana perlu bagi memahamkan kedua ibu bapa anda. Insya Allah mereka akan memahami. Ambil masa yang sesuai seperti selepas solat Isya' atau makan malam, sila ambil sedikit ruang masa ibu dan ayah atau salah seorang daripada keduanya untuk kita luahkan masalah termasuk akademik.
Nyatakan keterbatasan anda dalam akademik. Ini bagi mengelakkan harapan ibu bapa terlalu tinggi terhadap kita sedangkan kemampuan kita terbatas. Ini mungkin mereka membuat perbandingan semasa kita berada di peringkat menengah dahulu.
Nyatakan mengenai masalah utama, bebanan asas dan teras yang membelenggu anda. Sekuang-kurangnya selepas mereka memahami kita, doa dan restu ibu bapa sentiasa mengiringi kita. Masalah kewangan juga perlu dimaklumkan pada ayah, walaupun keluarga kita kurang berada, tetapi itu merupakan tanggungjawab ibu bapa semasa kita masih di bawah jagaan mereka.
Mereka berhak tahu, yakinlah, rezeki Allah swt di atas muka bumi ini sentiasa ada bagi orang yang beriman. Masalah duit, kewangan, JPA gunakan saluran persatuan.
Mengenai adik beradik: cuba sedaya upaya semasa pulang ke kampung untuk beri tumpuan kepada adk beradik, jelaskan terbatasan waktu kita kepada mereka. Bagi nasihat yang berguna.
Masalah hubungan rakan sejawat, ukhuwwah dan hubungan persahabatan: kadangkala ianya terlalu remeh. Selesaikan secara berhadapan, face to face. Elakkan emosi, jika perlu kita perlu, kita mengalah dan memohon maaf sahaja dengan niat untuk menjernihkan semula persahabatan. Elakkan situasi tegang semula, buang ego kita, Insya Allah masalah akan selesai.
Langkah ketiga :
Kemudian sila rangka jangka masa anda akan bertindak menyelesaikan masalah itu. Sila nyatakan secara spesifik.
Langkah Keempat:
Ambil Planner, dan masukkan tarikh dan masa anda untu bertindak terhadap masalah yang akan anda selesaikan
Langkah Kelima:
Setiap hari, sebelum tidur, ambil planner, dan semak tindakan hari berkenaan. Sila tandakan tuas atau masalah yang tertunda, silaforwardkan kepada hari masa yang sesuai. Muhasabah, dan rancang semula untuk tindakan pada keesokan harinya.
KESIMPULAN
Harapan saya moga simulasi kes pengurusan masa dan masalah ini dapat kita manfaatkan bersama. Ingatlah, hanya (indhibat) disiplin dan azam yang kuat sahaja mampu merubah dunia peribadi anda. Reformasi diri ini adalah satu titik mula ke arah menjadikan anda pengurus, pemimpin yang baik sekurang-kurangnya terhadap diri kita sendiri. Selamat maju jaya hendaknya.
Penulis adalah exco Ekonomi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Blog beliau boleh dilayari melalui Idealisme Anak Muda