Pelajar UMS Labuan Piket untuk bekalan air

LABUAN, 2 Mac — Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini mengadakan piket bagi menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian segera terhadap masalah bekalan air di kampus itu.

Piket tersebut adalah yang pertama seumpamanya di pulau ini berikutan kekurangan bekalan air yang berlaku di sini sejak pertengahan tahun lepas.

Sambil membawa sepanduk dan poster, mereka berkumpul di kampus itu, yang terletak kira-kira 14km dari bandar Labuan, sejak pukul 9 pagi di bawah pengawasan polis.

Kuliah di kampus berkenaan dihentikan sementara berikutan piket itu.

Bercakap kepada Bernama, naib presiden majlis perwakilan pelajar UMSKAL Heryanto Hasanudin berkata mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti itu sebelum piket tersebut diadakan.

Katanya dalam memorandum itu, pelajar meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat UMSKAL bagi melihat sendiri keadaan di situ; meminta bekalan air bersih disediakan secara berterusan; dan meminta universiti itu ditutup sehingga masalah bekalan air di situ diselesaikan.

Lebih 2,500 pelajar menuntut di universiti itu, sebahagian besarnya berasal dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta sebilangan kecil dari China, Indonesia dan negara lain.

“Akibat masalah bekalan air ini, ada pelajar yang berhenti dan melanjutkan pengajian di universiti lain,” katanya.

Heryanto berkata pelajar menghadapi masalah bekalan air di kampus itu sejak semester pertama tahun lepas dan berharap keadaan akan bertambah baik pada semester kedua.

“Malangnya, keadaan bertambah buruk. Kami telah suarakan masalah ini sejak tahun lepas, tapi ia terus berlarutan. Kami harap menteri berkenaan akan mencari jalan bagi membantu kami,” katanya.

Kini, pelajar universiti itu bergantung pada bekalan air yang dihantar oleh lori tangki Jabatan Bekalan Air bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Heryanto berkata mereka cuba menghubungi naib canselor universiti itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak berjaya.

Usaha Bernama untuk menghubungi pengarah UMSKAL juga tidak berhasil. — Bernama

sumber: The Malaysian Insider

Posted by GAMIS on 3:12 PTG. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

Bersama GAMIS di laman FaceBook : FaceBook GAMIS Pusat

0 comments for Pelajar UMS Labuan Piket untuk bekalan air

Leave comment



GAMIS atau nama penuhnya, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia adalah salah satu badan mahasiswa yang terbesar dan antara tertua di Malaysia. GAMIS merupakan NGO mahasiswa yang menjalankan pelbagai aktiviti, termasuklah aktiviti dakwah, siasah, dan kebajikan. GAMIS juga sebagai badan bertindak dalam memperjuangkan pelbagai isu di kampus mahupun di luar kampus untuk kesejahteraan ummat sejagat.

Photobucket